Sejarah Zack Snyder's Justice League

Penerbitan Justice League

Rencana utama: Justice League (filem)

Setelah Man of Steel (2013) dikeluarkan, sutradara Zack Snyder menggariskan asas kepada DC Extended Universe (DCEU) yang terdiri daripada satu arka menjangkau lima filem termasuk Man of Steel, Batman v Superman: Dawn of Justice (2016), dan trilogi Justice League.[36] Mengikut wawasan asal Snyder, sepatutnya Batman v Superman menjadi filem yang paling kelam dalam siri, dan filem-filem berikutnya pula beransur ceria.[37][38] Akan tetapi, Batman v Superman tidak disambut baik, dikritik kerana nada yang kelam, ketiadaan unsur humor, dan jalan cerita yang perlahan. Maka Snyder bersama pihak pengedar Warner Bros. mengkaji semula filem-filem DCEU yang berikutnya, khususnya Suicide Squad (2016) yang ketika itu sudah selesai penggambaran am, dan Justice League yang akan bermula penggambaran dalam sebulan. Snyder bersama penulis skrip Chris Terrio menulis semula Justice League supaya lebih ceria.[37][39]

Zack Snyder, pengarah Justice League

Penggambaran utama filem Justice League bermula pada April 2016[40] dan tamat pada Disember berikutnya.[41] Berbulan-bulan kemudian, Justice League ditayangkan dalam pelbagai bentuk hasil suntingan kepada para eksekutif Warner Bros. dan juga rakan-rakan dan saudara-mara Snyder. Tempoh filem dan picture lock telah dimuktamadkan, tetapi hasil-hasil suntingan terbabit tidak lengkap dari segi efek visual dan adunan audio. Snyder berkata bahawa pihaknya mempunyai berbilang hasil suntingan yang sudah "selesai" pada pokoknya dan hanya perlu diperhalusi CG-nya.[42][41] penulis skrip Mark Hughes, selaku penyumbang kepada majalah Forbes, melaporkan bahawa suntingan Snyder sudah lebih 90% lengkap,[43] manakala The Daily Telegraph memetik kata seorang pakar efek visual yang menganggarkan bahawa Warner Bros. akan memerlukan $30–40 juta lagi untuk menyiapkan filem berkenaan.[44] Para eksekutif Warner Bros. yang menonton suntingan Snyder berpendapat bahawa Snyder telah bertungkus-lumus 'menceriakan' suasana filem ekoran kritikan yang dilemparka terhadap Batman vs. Superman: Dawn of Justice.[45] Sungguhpun demikian, pihak Warner Bros. tidak puas hati dengan hasilnya, malah laporan orang dalam menyatakan bahawa suntingan itu dianggap "tidak sesuai ditonton".[46]

Kecewa dengan hasil arahan Snyder, Warner Bros. mengambil masuk Joss Whedon yang pernah mengarah filem-filem Marvel Cinematic Universe iaitu The Avengers (2012) dan Avengers: Age of Ultron (2015), untuk menulis semula skrip dan melakukan penggambaran semula secara menyeluruh.[47] Ketua Pegawai Eksekutif Warner Bros. Kevin Tsujihara mengehendaki agar Justice League tidak mencecah dua jam.[45] Warner Bros. juga memutuskan untuk tidak menangguhkan tarikh keluaran (yang mungkin memberikan lebih masa untuk menyempurnakan Justice League) supaya para orang atasan dijamin bonus tahunan, di samping kebimbangan bahawa syarikat induk AT&T mungkin akan membubarkan studio selepas penggabungan syarikat yang menjelang.[48] Snyder disandarkan untuk menggambarkan babak-babak yang dikaji semula oleh Whedon, dan mereka sedang berganding bahu untuk memenuhi permintaan Warner Bros. apabila anak perempuan Snyder, Autumn Snyder membunuh diri pada Mac 2017.[47][49] Snyder mengusahakan Justice League selama dua bulan untuk cuba mengetepikan tragedi, sebelum meletak jawatan pada bulan Mei.[42][49] Isterinya Deborah Snyder yang juga penerbit Justice League turut meninggalkan projek.[42]

Whedon mengambil alih sepenuhnya usaha penerbitan,[49] tetapi Snyder tetap dihargai sebagai pengarah. Whedon menokok skrip sebanyak hampir 80 muka surat,[50] dan dianggarkan oleh Wagner bahawa suntingan Whedon hanya menggunakan 10% daripada hasil rakaman Snyder.[51] Penggubah muzik Tom Holkenborg sempat menyiapkan skor filemnya sebelum digantikan oleh Danny Elfman di tengah-tengah usaha pascapenerbitan.[52][53] Babak-babak yang ditulis atau digambarkan semula oleh Whedon untuk tayangan pawagam mempunyai nada yang lebih ceria dengan lebih unsur humor, di samping mengurangkan takat keganasan yang terlihat dalam arahan Snyder yang lebih kelam.[47] Untuk memenuhi had tempoh masa yang ditetapkan, rakaman Snyder dipotong lebih 90 minit tetapi hasilnya tetap menepati garis luar asas cerita. Sungguhpun suntingan awal disambut hambar oleh penonton ujian, namun tayangan awal suntingan Whedon diberi markah setaraf dengan Wonder Woman (2017), jadi Warner Bros. memutuskan untuk terus mengeluarkan filem ini seadanya.[45] Snyder pada mulanya merelakan Whedon untuk mengkaji semula skrip, tetapi lama-kelamaan kesal kerana Whedon diberi lebih kuasa oleh pihak studio; Snyder tidak membantah kerana beliau sekeluarga masih meratapi kematian Autumn.[54]

Justice League keluar di pawagam pada 17 November 2017,[55] disifatkan oleh para pengkritik sebagai "filem Frankenstein" yang terang-terang terhasil daripada dua pengarah yang bercanggah wawasan.[48][56][57][58] Setelah menonton versi Whedon pada akhir tahun 2017, Deborah Snyder dan penerbit eksekutif Christopher Nolan memesan Snyder supaya "jangan sekali-kali menonton filem itu" kerana khuatir akan menyakitkan hatinya.[54] Justice League mengutip $657.9 juta berbanding dengan bajet kira-kira $300 juta.[1][55] Berbanding dengan titik pulang modal sebanyak $750 juta,[59] Deadline Hollywood melaporkan bahawa filem berkenaan mengakibatkan Warner Bros. rugi sekitar $60 juta.[60] Seorang eksekutif Warner Bros. yang enggan menyebut namanya menyatakan pada Februari 2021 bahawa pihak studio juga tidak senang dengan perubahan-perubahan "memeranjatkan" yang diterapkan pada hasil akhir, khususnya adegan Black Clad dan keluarga Rusia yang disifatkan sebagai tokokan yang lawak dan tidak bermakna.[54] Eksekutif tersebut menegaskan bahawa filem akhir meninggalkan rasa "kekok" kerana pihak studio enggan mengaku hasil kerjanya yang menjadi "tahi".[54] Ekoran sambutan hambar filem berkenaan, Warner Bros. memutuskan untuk mengundurkan diri dari wawasan siri filem Snyder dan menumpukan usaha kepada filem-filem tunggal dan francais-francais solo.[61]

Perbezaan dari versi pawagam

Terdapat banyak perbezaan antara Justice League versi pawagam dan versi Zack Snyder. Sungguhpun kerangka asas ceritanya sama, tetapi terdapat puluhan babak tambahan, cerita latar belakang, mitos, bina dunia, watak-watak baharu, dan acahan untuk filem-filem akan datang dalam versi Snyder yang tiada dalam versi asal.[62][63] Zack Snyder's Justice League tidak disertakan sebarang babak yang dirakam oleh Whedon untuk pawagam,[64] malah bekas eksekutif Warner Bros., Jon Berg dan Geoff Johns yang pernah menyelia penerbitan versi pawagam, memilih untuk tidak menerima penghargaan untuk versi Snyder.[5]

Snyder menyatakan bahawa versi Justice League beliau tidak akan berlatarkan kesinambungan yang sama seperti versi Whedon.[65] Jason Momoa menyatakan bahawa Aquaman (2018) arahan James Wan berlangsung selepas Zack Snyder's Justice League dan bukan versi Whedon.[66] Begitu juga, pengarah Wonder Woman (2017) Patty Jenkins berkata bahawa tiada sebarang pengarah DC menganggap Justice League versi Whedon sebagai kanun, malah dirinya berganding bahu dengan Snyder untuk memastikan Wonder Woman kekal bersinambung dengan versi Snyder.[67]

Gerakan #ReleaseTheSnyderCut

Sebaik sahaja keluarnya Justice League versi pawagam yang kemudian diberi nama ejekan "Josstice League",[68] para peminat mencipta petisyen atas talian untuk memohon agar dikeluarkan "Snyder Cut" yang meraih lebih 180,000 tandatangan.[69][70][47] Gerakan yang memakai hashtag #ReleaseTheSnyderCut dalam media sosial ini[71][72] sudah bermula sebelum peminat menyedari akan wujudnya Justice League versi suntingan Snyder dalam apa jua bentuk sekalipun.[44][69][73] Gerakan ini tercetus daripada ulasan bercampur-baur terhadap versi pawagam kerana para peminat tahu bahawa Snyder mengundurkan diri sebagai pawagam dan Whedon diberi kata putus tentang suntingan akhir; oleh itu, mereka berpendapat bahawa Whedon telah mencipta filem yang tidak sebaik yang diingini. Keadaan ini dapat dibandingkan dengan situasi Superman II (1980) yang juga melibatkan pergantian pengarah, di mana pengarah kedua melakukan perubahan besar pada filem sebelum siap. Richard Donner sempat melengkapkan suntingan sendiri bagi Superman II pada tahun 2006.[71][72][74] Ada yang berpendapat bahawa Justice League versi alternatif adalah terjamin kerana ada beberapa lagi filem Snyder yang pernah dikeluarkan semula dalam bentuk suntingan lanjut untuk tontonan di rumah (seperti Watchmen (2009) dan Batman v Superman) yang dinilai lebih bagus daripada versi pawagam oleh sesetengah pengkritik.[75][76]

Antara mereka yang terlibat dalam penghasilan Justice League yang menyokong keluaran Snyder Cut termasuklah pelakon-pelakon Ben Affleck, [77] Gal Gadot,[77] Jason Momoa,[78] Ciarán Hinds,[79] and Ray Fisher;[80] jurugambar Clay Enos;[81] pelukis papan cerita Jay Oliva;[82] sinematographer Fabian Wagner;[83] dan Richard Cetrone, pelakon ganti lagak ngeri (stunt double) yang mewakili Affleck.[84] Deborah Snyder berkata bahawa dia dan suaminya didorong oleh penerbit eksekutif Christopher Nolan dan Emma Thomas untuk menjayakan Snyder Cut.[85] Pada ulang tahun kedua tayangan pawagam, pelakon dan kru menyuarakan sokongan melalui media sosial.[77][86][87] Ramai lagi penggiat industri filem dan komik yang tiada kaitan dengan penghasilan Justice League turut menyokong pengeluaran "Snyder Cut", termasuklah sutradara Kevin Smith,[88] penerbit televisyen Steven S. DeKnight,[89] dan penulis komik Rob Liefeld,[90] Robert Kirkman,[91] and Jerry Ordway.[92] Ada juga tokoh-tokoh yang kurang optimis. Shawn Robbins, ketua penganalisis Boxoffice Pro, menyatakan bahawa gerakan itu tidak cukup ramai untuk meninggalkan kesan dengan pendapat bahawa tidak ramai di luar lingkungan peminat tegar yang ingin menonton Justice League versi suntingan baharu.[93] Orang dalam industri juga beranggapan bahawa Snyder Cut tidak mungkin dikeluarkan. Penulis Mario F. Robles memetik kenalan dari industri, menyatakan bahawa Warner Bros. tidak yakin pada wawasan Snyder dan tidak rela membelanjakan jutaan lagi dolar untuk menyempurnakan versi beliau.[94] Selama adanya gerakan, sesetengah pihak akhbar menyifatkan kewujudan Snyder Cut sebagai "dongeng"[77][95][96] atau "mitos".[97][98][99]

Versi Snyder dipromosikan oleh ahli-ahli gerakan #ReleaseTheSnyderCut menerusi aktivisme peminat. Pada Jun 2018, para peminat cuba menghubungi orang atasan AT&T setelah syarikat berkenaan bergabung dengan Warner;[100] pada Jun 2019, mereka mendekati KPE baharu Warner Bros. Ann Sarnoff yang menggantikan Tsujihara yang letak jawatan,[101] disusuli dengan kempen tulis surat beramai-ramai selama sebulan;[102] dan pada Julai 2019 mereka mendekati syarikat induk Warner Bros., WarnerMedia, setelah diumumkan perkhidmatan penstriman terbaharu HBO Max.[103] Menjelang San Diego Comic-Con 2019, seorang peminat melancarkan kempen mengumpul dana beramai-ramai (crowdfunding) di mana separuh daripada hasil kutipan akan ditujukan kepada kempen pengiklanan untuk memmpromosikan Snyder Cut, dan separuh lagi akan didermakan kepada yayasan American Foundation for Suicide Prevention (AFSP).[104][105] Kempen sedemikian rupa juga diadakan di New York Comic Con 2019, di mana gerakan membeli ruang iklan untuk dua buah papan iklan di Times Square yang memaparkan petikan kata daripada barisan pelakon dan kakitangan.[95] Pada Disember 2019, gerakan menyewa satu lagi iklan dalam bentuk sepanduk bawaan pesawat untuk terbang di ruang angkasa Warner Bros. Studios dengan tujuan menggesa Sarnoff untuk mengeluarkan Snyder Cut.[106] Pada Januari 2020, gerakan meneruskan usaha menggesa pengeluaran Snyder Cut dengan membeli empat minit ruang iklan di atas papan iklan digital yang melilit ruang dalaman Riverside Stadium di Middlesbrough, England sewaktu kejohanan FA Cup.[107] Usaha-usaha gerakan dipuji oleh pihak Snyder[108] dan AFSP.[109]

Akan tetapi, gerakan tersebut juga dikritik oleh pihak media sebagai "toksik"[110] kerana mengganggu, mengugut, dan membuli siber mereka yang meluahkan pendapat yang bertentangan mengenai Snyder Cut.[111] Yohana Desta dari majalah Vanity Fair rata-rata menganggap tindakan peminat mendesak suntingan altermatif sebagai "pola tuntutan penonton masa kini yang mentoksikkan lagi golongan peminat", malah membuat perbandingan dengan insiden membahan beramai-ramai terhadap pelakon Star Wars: The Last Jedi (2017), Kelly Marie Tran pada tahun 2017.[110] Pada September 2018, bekas presiden DC Entertainment Diane Nelson menghapuskan akaun Twitternya setelah dibahan ramai-ramai di Internet oleh ahli gerakan.[112] Setelah dibanjiri panggilan tanpa henti yang bertanyakan "Snyder Cut", kakitangan pengendalian telefon Warner Bros. dilatih untuk melayan panggilan berkenaan sebagai sakat.[110] Beberapa ahli gerakan menghubungi pelagak ngeri Justice League Richard Cetrone untuk mengajukan soalan tentang Snyder Cut, tetapi kemudian meminda jawapan SMS Cetrone secara digital untuk disebarkan di media sosial seolah-olah beliau menyokong perjuangan mereka.[73][113]

Brandon Katz dari The New York Observer melaporkan bahawa gerakan ini terdiri daripada "golongan peminat DC toksik yang mengherdik sekeras-kerasnya sesiapa sahaja yang membangkang usaha mereka, dan juga golongan penyokong yang betul-betul menyukai gaya Snyder dan berharap dapat menonton kesudahan trilogi yang bermula dengan Man of Steel. Seperti mana-mana kontinjen seumpamanya, mereka terdiri daripada puak pelampau dan individu sederhana."[110] Bob Rehak, Profesor Madya dan Pengerusi Kajian Filem dan Media Kolej Swarthmore, menyatakan bahawa kumpulan-kumpulan peminat seperti #ReleaseTheSnyderCut memberontak apabila perubahan besar dilakukan kepada sesuatu yang sangat dihargai, tetapi reaksi sebegini selalunya datang daripada segelintir kecil yang ibarat nila setitik merosakkan susu belanga seluruh peminat.[113] Mark Kermode dari BBC mengkritik reaksi peminat terhadap ulasan pengkritik, menyatakan bahawa ramai sahaja orang yang memperjuangkan Snyder Cut, tetapi ada segelintir yang cukup berbisa, malah yang selalu dijadikan mangsa ialah pengkritik perempuan yang 'dibawang' dengan terlalu dahsyat.[114][115]

Realisasi

Pada Mac 2019, setelah berbulan-bulan spekulasi, Snyder mengesahkan wujudnya suntingan asal beliau; tambahnya, terpulang pada pihak Warner Bros. sama ada untuk mengeluarkannya atau tidak.[116] Pada November, seorang dalam mendakwa bahawa Warner Bros. tidak mungkin mengeluarkan versi Snyder dalam apa jua bentuk sekalipun, malah menggelar sebarang harapan sebagai angan-angan kosong.[117] Akan tetapi pada bulan berikutnya, Snyder mengirim sepucuk gambar dalam akaun Veronya yang memaparkan kotak-kotak dengan pita berlabel "Z.S. J.L Director's cut", disertakan sari kata "Is it real? Does it exist? Of course it does. (Betulkah? Wujudkah? Memanglah.)"[118] Snyder berkata sendiri pernah percaya bahawa suntingannya tidak akan dikeluarkan sekali pun, tetapi mungkin ada sedutan yang akan diterapkan dalam dokumentari.[2] Robert Greenblatt yang ketika itu pengerusi WarnerMedia dan ketua HBO Max, menyatakan bahawa pihak syarikat pernah berbincang berbulan-bulan mengenai Justice League versi Snyder sejak akhir 2019.[3] Pihak studio pada mulanya memohon Snyder agar dikeluarkan versi suntingan beliau seperti mana dia tinggalkan tanpa siap, tetapi Snyder membantah dan menuntut supaya filem itu disempurnakan, jadi pihak Warner mengambil masa berbulan-bulan untuk memahami dan akur bahawa Snyder hanya mahu memenuhi kehendak penonton.[119] Menurut Snyder, WarnerMedia memperkenankan Snyder Cut pada Februari 2020, setelah pengerusi Toby Emmerich memperakui usaha gerakan #ReleaseTheSnyderCut lalu menghubungi Snyder.[2]

Pasangan Snyder mengundang para orang atasan Warner Bros., HBO Max, dan DC ke rumah mereka untuk menonton Snyder Cut. Snyder turut mengutarakan beberapa idea, termasuk mengeluarkan hasilnya dalam bentuk siri berepisod. Orang atasan berkenaan berasa kagum dan memutuskan untuk meneruskan projek, dan Snyder pun mula menghimpunkan semula kakitangan pascapenerbitan asal filem untuk menyempurnakan suntingan beliau.[2] Usaha terganggu akibat wabak pandemik COVID-19 yang merebak dengan semakin mendadak ketika itu, tetapi didorong atas gesaan pasangan Snyder. Snyder memaklumkan barisan pelakon asal tentang usaha mereka dari April hingga Mei 2020; Snyder sendiri mengisahkan bahawa Fisher menyangka beliau bergurau.[2] Pada Mei 2020, dalam sesi soal jawab setelah selesai mengadakan parti tontonan Man of Steel atas talian, Snyder mengumumkan bahawa Justice League suntingan beliau akan ditayangkan di HBO Max sebagai Zack Snyder's Justice League pada tahun 2021.[61] Greenblatt berkata bahawa WarnerMedia cuba mengkhabarkan berita ini secepat mungkin sebelum pelancaran HBO Max pada 27 Mei.[3]

Snyder yang ketika ini belum sempat menonton versi pawagam, menyifatkan versi beliau sebagai produk yang serba baharu, yang menjanjikan pengalaman serba berbeza bagi sesiapa yang telah menonton versi pawagam.[2] Pasangan Snyder berpendapat bahawa penyiapan Justice League akan menyempurnakan satu perjuangan lama, malah mereka teruja diberi peluang untuk memperbaiki perkembangan watak-watak dalam filem.[2] Tidak jelas pada ketika itu format keluaran Zack Snyder's Justice League sama ada filem empat jam atau minisiri enam episod. The Hollywood Reporter melaporkan bahawa usaha melengkapkan efek visual, skor, dan penyuntingan akan menelan belanja $20–30 juta.[2] Akan tetapi, Greenblatt menyatakan bahawa versi ini jauh lebih mahal dan akan menelan belanja lebih daripada $30 juta.[3] Pada 23 Jun 2020, Sandra Dewey, ketua penerbitan dan operasi perniagaan WarnerMedia, memberitahu dalam temubual bahawa pihak syarikat menyasarkan keluaran "awal hingga pertengahan tahun 2021".[120]

Laporan awal membayangkan bahawa tidak akan ada bahan-bahan rakaman baharu kerana Snyder tidak diberi izin oleh WarnerMedia.[121] Akan tetapi pada 23 September 2020, didedahkan bahawa Snyder bersiap untuk merakam babak tambahan pada bulan Oktober. Affleck, Cavill, dan Fisher menggarap semula watak-watak mereka untuk penggambaran. Ekoran penggambaran tambahan yang bermula pada 6 Oktober ini,[122] dijangka bahawa bajet meningkat kepada kira-kira $70 juta.[123][4] Di akhir bulan, Amber Heard, Jared Leto, dan Joe Manganiello turut serta memainkan watak masing-masing iaitu Mera, Joker, dan Deathstroke.[5][124] Snyder juga mengarahkan satu babak tambahan bersama Miller dengan menghantar lakaran kakitangan mengenai suasana babak yang diingini melalui Zoom ketika Miller sedang menggambarkan filem Fantastic Beasts ketiga (2022) di London. Suapan video Snyder dipancarkan pada peranti yang disokong oleh penyangkut di atas meja supaya beliau dapat mengarahkan Miller dan kakitangan yang menggambarkan babak bagi pihaknya.[125] Snyder menyatakan bahawa hanya empat ke lima minit rakaman baru dilakukan sewaktu penggambaran tambahan.[126] Pada Januari 2021, Snyder mengesahkan bahawa telah selesai usaha penerbitan versi beliau.[127]

Rujukan

WikiPedia: Zack Snyder's Justice League http://www.imdb.com/title/tt2361974/ http://www.reelanarchy.com/exclusive-heres-what-at... https://www.billboard.com/articles/news/9539555/za... https://www.businessinsider.com/how-justice-league... https://www.businessinsider.com/snyder-cut-letter-... https://www.buzzfeednews.com/article/krishrach/all... https://www.cbr.com/walking-dead-robert-kirkman-re... https://www.cbr.com/zack-snyders-justice-league-fo... https://www.cinemablend.com/news/1670669/original-... https://www.cinemablend.com/news/2436990/thanks-to...